Pada peringkat global, sebanyak 95 peratus penghasilan koko disumbangkan oleh pekebun kecil dari negara dunia ketiga. Ivory Coast pengeluar koko terbesar dunia sekitar 35 peratus dengan jumlah pengeluaran kasar sebanyak1.4 juta tan metrik, diikuti oleh Ghana (0.8 juta tan metrik) dan Indonesia (0.7 juta tan metrik) yang membentuk 30 peratus gabungan pegangan pengeluaran dunia.
Walaupun kelihatan unggul, pada hakikatnya, Persidangan Dunia 2016 menyimpulkan bahawa industri koko amat jauh dari unsur kelestarian kerana pengeluaran koko sering dikaitkan dengan program kebajikan semata-mata. Sebagai kesannya, tidak wujud nilai tambah keusahawanan dalam diri pekebun koko untuk kekal berdaya saing bagi meningkatkan produktiviti. Umpamanya, di Malaysia, kini pengeluaran koko negara serendah 10 peratus berbanding dengan 360 ribu kapasiti pengisaran biji koko tempatan.
Akreditasi ladang dan pensijilan merupakan bentuk kawalan piawaian keselamatan makanan yang menjamin kesihatan pengguna. Produk rendah kimia, Amalan Pertanian Baik Malaysia [Malaysian Good Agricultural Practices (MyGAP)], antara contoh produk hijau yang berupaya meningkatkan kepercayaan dan mempengaruhi keputusan pembelian pengguna. Kuasa beli di tangan pengguna sememangnya mampu meningkatkan sifat keusahawanan dalam diri pekebun khasnya, yang terlibat dalam industri koko. Dengan melakukan pembelian produk koko yang dihasilkan secara lestari, pilihan ini terbukti mampu meningkatkan pendapatan pekebun koko. Secara tidak langsung, hal ini meningkatkan motivasi mereka untuk menambah baik amalan pertanian semasa.
Organic, Fairtrade dan Rainforest Alliance merupakan skim pensijilan yang ketat. Namun begitu, skim tersebut berjaya meningkatkan kemahiran pekebun koko untuk mengeluarkan biji koko lestari. Berbanding pekebun yang tidak berdaftar, pekebun yang mematuhi skim persijilan mengalami peningkatan 70 peratus pengeluaran hasil koko bagi setiap hektar tanaman yang diusahakan. Secara tidak langsung, peningkatan kuantiti penghasilan biji koko per hektar telah membolehkan pekebun berkenaan menikmati tambahan pendapatan antara AS$200 (RM802) hingga AS$300 per (RM1203) per tan metrik berbanding purata harga koko tanpa pensijilan sekitar AS$3,000 (RM12030) per tan metrik.
Jangkaan amat memberansangkan daripada pengusaha produk berasaskan koko keluaran Hershey, yang pada ketika ini komited untuk menggunakan 100 peratus biji koko lestari menjelang tahun 2020. Sebagai pengguna prihatin, sokongan pembelian terhadap produk koko berkenaan semestinya menyumbang kepada jaminan sumber pendapatan pekebun koko lestari. Selain dari Hershey, Unilever, Kraft dan Mars menyatakan komitmen terhadap penggunaan koko lestari sebagai sumber utama ramuan penghasilan produk. Lazimnya, syarikat gergasi ini akan melakukan pembelian koko lestari yang mematuhi skim persijilan seperti keluaran Organic, Fairtrade dan Rainforest Alliance. Untuk kekal berdaya saing, Malaysia, yang kini merupakan pengeluar koko ke-27 dunia dan berada di tangga kelima dalam industri pengisaran biji koko, wajar bergerak ke arah pertanian koko lestari bagi menggelakkan “kejatuhan kali kedua” industri penghasilan koko negara.
Namun demikian, timbul tanda tanya konotasi kelestarian bagi industri koko dan sama ada unsur lestari hanya berkisar sekitar relung penjagaan alam sekitar ataupun tidak.
Amalan pertanian baik melalui pensijilan dan akreditasi ladang bukan sahaja menjamin keselamatan pemakanan, malah berupaya meningkatkan pendapatan pekebun koko dengan pertambahan hasil tuaian. Konsep kelestarian tidak akan lengkap tanpa unsur sosial, ekonomi dan alam sekitar. Tiga kombinasi ini merupakan asas kelestarian yang mula mendapat perhatian dunia dalam Sidang Kemuncak Bumi 1992. Secara kasar, unsur kelestarian dalam pertanian koko merangkumi pengurangan impak negatif penyahhutanan serta pemeliharaan biodiversiti, penghapusan kemiskinan dan pewujudan pembangunan komuniti setempat, seperti peluang pendidikan.
Tanaman koko merupakan satu-satunya komoditi pertanian yang amat bergantung kepada kepelbagaian biodiversiti untuk mengawal serangan penyakit koko. Kebergantungan biodiversiti koko dapat dikaitkan dengan peranan agen pendebugaan yang memungkinkan nilai dagangan tahunan koko dunia mencecah sehingga AS$5.7 bilion, seperti yang dibuktikan dalam Intergovernmental Science-Policy Platform Biodiversity & Ecosystem Service (IPBES 4) di Kuala Lumpur 2016.
Jika tanaman koko diusahakan secara tunggal, seperti kelapa sawit, pekebun koko akan terperangkap dalam kitar boom-and-bust. Keadaan suram yang meranapkan industri penghasilan koko tempatan masa ini merupakan pengajaran kesan amalan pertanian koko yang tidak lestari sekitar tahun 1960 hingga 1990-an. Amalan tananam tunggal tanpa litupan kanopi pokok optimum mengakibatkan berlakunya serangan tragis penyakit buah koko iaitu cocoa pod borer (CPB).
Jerat keuntungan jangka masa pendek yang mengancam kelestarian industri koko turut dirasai di Indonesia dengan kerugian setinggi AS$290 juta. Tanggungan kos operasian yang tinggi menjadi faktor penolak pelabur perusahaan swasta dan mereka beralih kepada tanaman kelapa sawit yang tidak memerlukan penjagaan rapi, kurang tenaga kerja intensif, serta baka pokok yang tinggi rintangan penyakit.
Setiap peningkatan tiga peratus permintaan produk berasaskan koko tambahan 1.8 tan metrik biji koko diperlukan. Seandainya lebih banyak pembelian berasaskan koko dilakukan terhadap produk keluaran tempatan, secara tidak langsung pekebun kecil memperoleh jaminan permintaan koko yang berterusan. Untuk bangkit dari episod hitam industri koko, usaha pada Persekutuan oleh Lembaga Koko Malaysia (MCB) menerusi program Sabah Highland Cocoa Cluster melibatkan 754 pekebun kecil aktif, diharap matang dalam merangka strategi dan mengambil pengajaran pengalaman lepas.
Sebagai saranan, sekiranya Malaysia menggabungkan amalan pertanian koko lestari, anjakan berkenaan merupakan inisiatif perintis dan bertindak sebagai mekanisme penghapus kemiskinan bagi meningkatkan kualiti hidup pekebun koko. Dalam masa yang sama, hal ini memanfaatkan cita rasa pengguna yang kian mendambakan produk makanan selamat dan telus tadbir urusnya.
This article first appeared in Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) on November 2016.