Muhammad Sinatra was quoted in Astro Awani
by Isabelle Leong
Februari 4, 2021
KUALA LUMPUR: Antara isu utama yang akan dibincangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan rasmi bersama Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dijangka berkaitan pengaturan koridor perjalanan antara dua negara.
Menurut penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Muhammad Sinatra, melihat kepada keadaan negara yang sedang berusaha mengekang penularan COVID-19, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) juga harus dibuka kepada pelajar dan pekerja untuk melakukan perjalanan rentas sempandan.
“Bagi fasa pertama RGL ini, saya ingin lihat ia akan diberikan kepada siapa?
“RGL di antara Indonesia dan Singapura pada tahap ini dibenarkan untuk tujuan perniagaan penting dan perjalanan rasmi.
“Saya ingin melihat apa fasa-fasa RGL yang akan dicipta di antara Indonesia dan Malaysia.
“Pada pandangan saya, sepanjang kedua-dua negara berjaya mengendali angka COVID-19, bolehlah buka peluang yang lebih luas untuk membuka RGL tersebut kepada pelajar atau pekerja,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Bagaimanapun, katanya, isu yang mencabar dan melambatkan pelaksanaan RGL tersebut adalah kebimbangan wujudnya varian baharu COVID-19.
“Kami harus memastikan bahawa kedua-dua negara boleh mengikuti protokol kesihatan yang ketat di titik pelepasan dan ketibaan di kedua-dua negara.
“Isu yang akan mencabar pembentukan RGL mungkin adalah datangnya varian atau jenis baharu virus COVID-19 dari England yang mungkin akan melambatkan lagi inisiatif untuk buka RGL,” tambahnya.
Selain isu semasa seperti masalah jerebu rentas sempadan, pekerja asing atau persempadanan, beliau berkata isu yang menjadi fokus perbincangan juga merangkumi isu-isu strategik seperti vaksin COVID-19 dan potensi kerjasama dalam penubuhan ibu negara Indonesia yang baharu di Kalimantan Timur.
Muhyiddin membuat lawatan rasmi dua hari ke Indonesia bermula Khamis, sekali gus menjadi lawatan rasmi pertama beliau sejak bergelar Perdana Menteri pada Mac 2020.
Beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta delegasi kecil untuk pertemuan rasmi bersama Jokowi di Istana Merdeka, Jakarta.
Tempoh lawatan rasmi juga dihadkan kepada kurang 24 jam untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.