Thomas Daniel was quoted in the Benar News
Menteri Pertahanan berkata aset negara lebih dari cukup untuk melindungi kawasan tuntutan bertindih di perairan Sarawak.
by Iman Muttaqin Yusof & Iskandar Zulkarnain, 25 January 2023.
Malaysia pada Rabu enggan memperbesarkan kehadiran kapal pengawal pantai China (CCG) berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) di Laut China Selatan di mana berlangsungnya aktiviti explorasi minyak dan gas oleh negara Asia Tenggara itu yang dicabar oleh Beijing.
Terbaharu, sebuah kapal China dilihat berada di sekitar lokasi berkenaan pada 12 Januari, demikian menurut Raymond Powell, yang memantau tindakan kekerasan Beijing di kawasan perairan yang terlibat dalam tuntutan bertindih.
Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Hasan menyifatkan kehadiran kapal China itu bukan tindakan “pencerobohan”, dengan seorang pengalisis keselamatan menegaskan kejadian itu membuktikan Malaysia tidak mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas kawasan perairan negara tersebut.
“Saya tidak guna perkataan ceroboh lagi. Sebab ini adalah kawasan yang kita sama-sama claim (tuntut). Jadi tak apalah begitu. Aset kita lebih dari cukup (untuk melindungi kawasan terlibat),” katanya kepada BenarNews apabila diajukan soalan semasa satu sidang media selepas melawat projek kediaman tentera di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata ketiga-tiga cabang angkatan tentera negara itu sedang mengawasi keadaan dan dalam keadaan bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan.
“Kita mengawasi keadaan, tentera laut, tentera udara dan tentera darat kita bersedia dan kita juga meletakkan aset kita di sana supaya mengelakkan mana-mana pihak dari menggunakan hujah “doctrine of estoppel”, iaitu apabila tiada tuntutan dibuat oleh mana-mana pihak, jika anda menempatkan aset-aset anda di situ, ia menjadi milik anda.
Disebabkan itu, kita turut menempatkan aset-aset kita di sana.
“Ini kawasan pertindihan. Kawasan pertindihan begitulah masing-masing akan cuba untuk membuktikan itu kawasan mereka. Kita pun akan buktikan dengan cara menempatkan aset kita di sana yang membuktikan kita juga menuntut kawasan yang sama,” ulas Menteri Pertahanan itu lagi.
Sejak beberapa tahun lalu, CCG menegaskan tuntutan maritim China yang luas di Laut China Selatan di mana negara itu juga terlibat dalam pertikaian maritim dan wilayah bertindih dengan Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan.
Tuntutan bertindih
Luconia Shoals adalah gugusan batu karang dan merupakan antara kawasan yang dituntut oleh Beijing menerusi tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan.
Kawasan yang dikenali sebagai Beting Patinggi Ali itu juga terletak di perairan utara Sarawak – salah sebuah negeri kepulauan Borneo, berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
Pada 12 Julai, 2016, tribunal Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu -PBB (UNCLOS) memutuskan bahawa tuntutan China berasaskan hak sejarah ke atas wilayah maritim, berbanding dengan wilayah darat and wilayah perairan yang terletak dalam “9-Dash Line” tidak mempunyai kesan perundangan sekiranya ia melebihi apa yang dibenarkan di bawah UNCLOS.
Putrajaya telah menegaskan menolak tuntutan China di perairan berkenaan melalui surat perwakilan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Julai 2020.
Kesan kehadiran kapal China
Kehadiran kapal CCG di dalam kawasan EEZ perairan Sarawak telah dikesan beberapa kali dengan kemunculan terbaharu telah didedahkan oleh Raymond Powell, seorang pesara kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat, menerusi saluran media sosial pada Isnin.
Menurutnya, Malaysia telah menggerakkan kapal KD Kelantan untuk membayangi pergerakan kapal CCG berdasarkan laporan Starboard Maritime Intelligence, perisian pengesan pergerakan maritim global.
“Semalam, 22 Jan, pada 6:00 pagi, kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Kelantan (F175) telah tiba untuk membalas kehadiran kapal Pengawal Pantai China 5303, yang telah mengganggu eksplorasi minyak dan gas di Luconia Shoal sejak 12 Jan,” ujar Powell, yang juga mengetuai Gordian Knot Center di Universiti Standford, kepada BenarNews.
Menurut Powell lagi, kapal peronda KD Kelantan sebelum itu “menari” dengan kapal-kapal peronda China selama satu minggu pada penghujung Disember, sambil memetik laporan Asia Maritime Transparency Initiative 2020 mengenai kehadiran berkala kapal peronda Malaysia di lokasi berkenaan bagi mencabar tuntutan China menerusi “hak sejarah”.
Begitupun, kapal CCG 5303, dengan panjang 134 meter dan lebar 14 meter, tidak asing di Laut China Selatan, khususnya di perairan sekitar Luconia Shoal memandangkan ia kerap “ditugaskan” di dalam kawasan EEZ Malaysia.
Pada Julai 2021, kapal CCG itu telah dikesan berhampiran Kawasan Gas Kasawari milik Malaysia di kawasan sama menganggu pergerakan bot bekalan milik syarikat tempatan yang terlibat dalam kerja di kawasan carigali gas.
Menurut laporan audit kerajaan Malaysia yang diterbitkan pada 2020 – laporan yang paling baharu, kapal-kapal pengawal pantai dan tentera laut China telah menceroboh perairan Malaysia dalam Laut China Selatan sebanyak 89 kali di antara tahun 2016 hingga 2019.
Kapal-kapal tersebut berada di dalam kawasan berkenaan sehingga mereka dikerahkan untuk berpatah balik oleh tentera laut Malaysia.
Gagal lindungi wilayah perairan
Thomas Benjamin Daniel dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) menegaskan kehadiran kapal-kapal China menunjukkan Malaysia tidak mempunyai kawalan penuh ke atas wilayah perairan negara itu, termasuk di kawasan EEZ miliknya.
“Kehadiran kapal-kapal China – pengawal pantai, tentera laut, militia maritime – adalah langkah untuk menghantar isyarat kepada Malaysia yang negara itu tidak mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas wilayah perairannya, termasuk EEZ, yang dilihat sebagai di bawah bidang kuasanya,” katanya kepada BenarNews.
“Malaysia kekurangan kemampuan untuk membuat rondaan secara efektif, apatah lagi menyekat mana-mana negara, khususnya China, sekiranya berlaku sebarang pertembungan. Kegagalan proses perolehan dan kekurangan langkah dalam mengekang tentera laut dan pengawal pantai.”
Daniel berkata langkah diplomasi adalah penting dalam pengurusan konflik serta mitigasi, namun menegaskan adalah lebih efekif sekiranya Malaysia mampu menyelesaikannya serta membuatkan pihak yang cuba bermusuh untuk berfikir dua kali.
September lalu, pegawai tinggi Tentera Laut Diraja Malaysia mengakui pertahan negara itu lemah berikutan kelewatan projek pembinaan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) yang setakat ini menelan belanja kira-kira RM6 bilion (AS$1.4 bilion).
BenarNews melaporkan pegawai memerintah Armada Timur Sabri Zali berkata cabang tentera itu berhadapan kekurangan kebolehan tempur di laut kerana kapal perang yang dioperasikan pada masa kini semuanya telah tua dan usang.
Untuk rekod, kontraktor yang diupah kerajaan gagal menyiapkan walau sebuah daripada lima kapal yang sepatutnya disiapkan dan serahkan setakat Ogos 2022.
Filipina tingkatkan pemantauan maritim
Indonesia, Vietnam and Malaysia telah mendakwa China menganggu aktiviti eksplorasi minyak dan gas negara-negara berkenaan dengan kekerapan pencerobohan oleh kapal-kapal pengawal pantai China serta kapal militia maritim, membawa kepada konfrontasi dan insiden pada September tahun lalu.
Pada Selasa, BenarNews melaporkan kerajaan Filipina sedang memantau dengan “ketat” perkembangan di Laut China Selatan serta melancarkan siasatan ke atas insiden di mana kapal pengawal pantai China didakwa mengganggu nelayan tempatan berhampiran beting yang dikuasai oleh Filipina baru-baru ini.
Menurut pengawal pantai Filipina krew bot nelayan KEN-KEN melaporkan sebuah kapal China dengan pendaftaran 5204 dan sebuah bot lebih kecil telah menghalau mereka dari perairan berhampiran Ayugin Shoal.
Jabatan Luar Negara Filipina dalam satu kenyataan pada Selasa menegaskan Ayungin Shoal adalah sebahagian dari kawasan EEZ Filipina dan negara itu “berhak untuk mempertahankan kedaulatan serta bidang kuasa di kawasan berkenaan tanpa sebarang campurtangan dari negara lain.”
This article was first published in the Benar News, 25 January 2023.