Ditulis oleh Lee Min Hui,Calvin Cheng Kah Weng, Shazana Agha dan Anis Farid
Dengan sumbangan oleh Prof Datuk Dr Norma Mansor, Dr Teoh Ai Hua dan Sofea Azahar, Mei 2024

Tentang penulis

Lee Min Hui ialah penganalisis kanan dalam program Dasar Sosial dan Integrasi Nasional di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia. Minat penyelidikan beliau tertumpu sekitar isu keterangkuman sosial terutama berkaitan kesaksamaan gender, kebajikan, ekonomi penjagaan, penuaan, perlindungan buruh, dan kemiskinan serta perancangan bandar. Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana dalam Dasar Awam dari King’s College London dan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Antarabangsa dan Global dari Universiti Monash Malaysia.

Calvin Cheng ialah felo dalam program Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia. Minat penyelidikan beliau ialah berkisar isu ekonomi gunaan berkaitan isu pekerjaan, perlindungan sosial, pembangunan ekonomi dan mereka bentuk program bantuan sosial. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Dasar Awam dari London School of Economics and Political Science (LSE) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Ekonometrik dari Universiti Monash di Clayton.

Shazana Agha ialah ketua penyelidik di Women’s Aid Organization (WAO) iaitu sebuah badan bukan kerajaan di Malaysia yang bekerja untuk meningkatkan kesaksamaan gender dan menamatkan keganasan terhadap wanita. Pada masa ini, beliau adalah penyelidik bersama untuk satu kajian berkaitan meningkatkan daya tahan pekerja penjagaan di Malaysia. Beliau juga merupakan penyokong yang kuat dalam banyak isu yang menyentuh soal wanita dan gadis di Malaysia. Beliau merupakan lulusan dari Universti Monash dan memiliki Ijazah Sarjana (Pengajian Gender) dari Universiti Malaya.

Anis Farid ialah pengurus projek penyelidikan di Women’s Aid Organization (WAO)
bertanggungjawab dalam Projek RE:CARE yang meninjau isu pembinaan daya tahan tenaga kerja dan infrastruktur penjagaan di Malaysia sebagai persediaan krisis pada masa akan datang. Peranan beliau pada masa ini adalah tertumpu kepada pemerkasaan ekonomi wanita dan kepentingan untuk mengiktiraf serta menangani kerja penjagaan sama ada bergaji atau tidak. Anis memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang psikologi dari Universiti McGill dan Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Dasar Sosial dari London School of Economics.

Prof Datuk Dr Norma Mansor telah menjadi pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial sejak tahun 2013. Beliau telah berkhidmat sebagai penasihat dan perunding untuk pelbagai organisasi termasuk Progam Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Kesatuan Eropah, Bank Pembangunan Asia dan agensi-agensi kerajaan di Malaysia. Beliau juga banyak menulis buku dan artikel jurnal berkaitan dasar awam dan sosial, penuaan dan perlindungan sosial. Beliau merupakan felo Akademi Sains Malaysia dan presiden Persatuan Ekonomi Malaysia. Beliau memiliki PhD dan Ijazah Sarjana dari Universiti Liverpool dan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya.

Dr Teoh Ai Hua ialah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia. Minat penyelidikan beliau tertumpu pada perkhidmatan sosial awam, pemprofesionalan kerja sosial, serta pengurusan kes dan penjagaan dalam komuniti. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW) dan naib presiden Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Malaysia (MAKPEM). Beliau memiliki PhD dalam bidang Kerja Sosial (UUM), Ijazah Sarjana dalam pengajian Kerja Sosial dari Universti Kent di Canterbury dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pentadbiran awam dari UUM..

Sofea Azahar ialah penganalisis dalam program Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia. Minat penyelidikan beliau adalah terhadap pembangunan ekonomi yang menekankan tentang pembangunan modal insan dan kesan kepada ketidaksamaan dalam pendidikan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Pengajian Pembangunan dari London School of Economics and Political Science (LSE) dan Ijazah Sarjana Muda dalam ekonomi dari Universiti Essex.

Ringkasan eksekutif

  • Peralihan demografi di Malaysia makin terarah kepada masyarakat berusia dan penguncupan tenaga buruh menyebabkan permintaan terhadap keperluan penjagaan akan meningkat. Kesan situasi ini akan banyak dirasai oleh kebanyakan wanita yang menjalankan hampir keseluruhan kerja penjagaan yang tidak bergaji. Keadaan ini menjadi suatu perkara yang mustahak kepada Malaysia untuk membina ekonomi penjagaan dari buaian hingga ke liang lahad yang bertindak balas terhadap keperluan penjagaan. Ia merangkumi penjagaan kanak-kanak hingga warga emas serta penjagaan khusus seperti penjagaan orang kurang upaya dan paliatif.
  • Ekonomi penjagaan mempunyai potensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Sekiranya kerja penjagaan yang terhasil di rumah-rumah di Malaysia pada setiap hari dinilai dalam angka KDNK, nilainya adalah sekitar RM379 bilion iaitu menyumbang satu perlima daripada sektor perkhidmatan.
  • Dengan menghapuskan kekangan penjagaan yang menghalang penyertaan dalam tenaga buruh, Malaysia dapat membolehkan 3.2 juta pekerja untuk terlibat dalam pekerjaan bergaji dan mampu membuka potensi sebanyak 4.9 mata peratusan daripada pertumbuhan KDNK pada tahun 2022.
  • Walau bagaimanapun, pembentukan ekonomi penjagaan dari buaian hingga ke liang lahad yang saksama di Malaysia terhalang disebabkan beberapa faktor termasuk kadar kebergantungan yang tinggi terhadap penjagaan tidak formal dengan sokongan terhad kepada penjaga, ketiadaan aspek penjagaan sosial dalam rangka kerja perlindungan sosial negara, kekurangan perkhidmatan penjagaan sosial yang memenuhi kemahuan, perundangan yang tidak mencukupi dalam mentadbir urus ekonomi penjagaan dan tenaga kerja serta persepsi umum bahawa aktiviti penjagaan ini adalah kebanyakannya “isu wanita”.
  • Bagi membina ekonomi penjagaan dari buaian hingga ke liang lahad yang menyeluruh dan saksama, Malaysia perlu merealisasikan pendekatan yang lebih terangkum dengan merangka dan menilai semula penjagaan sebagai barang awam, menerima pakai pendekatan kitaran hayat untuk penjagaan di samping memastikan semua kumpulan pendapatan mempunyai akses kepada garis asas penjagaan sosial.
  • Pada saat ini, pelaburan dan penglibatan awam untuk menetapkan asas-asas ekonomi penjagaan dari buaian hingga ke liang lahad adalah menjadi satu keperluan. Perkara ini memerlukan empat hala tuju dasar yang penting seperti menyepadukan penjagaan sosial dalam rangka kerja perlindungan sosial, membuat pelaburan dalam infrastruktur dan perkhidmatan penjagaan berasaskan komuniti, mewujudkan hala tuju dasar dan struktur tadbir urus yang sepadan, serta memperkenalkan pendekatan sistem yang bersifat peka gender dan berpusatkan penjagaan.

 

- Advertisement -