Harris Zainul was quoted in Free Malaysia Today, 2 August 2024
Pakar keselamatan siber mempersoal sama ada penguat kuasa sudah cukup arif dan terlatih mengenai rangka kerja kawal selia baharu itu.
By Chia Wan Rou
PETALING JAYA: Pakar keselamatan siber bimbang dengan cabaran dari segi penguatkuasaan undang-undang susulan langkah mewajibkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dilesenkan mulai Januari tahun depan.
Fong Choong Fook, pengerusi eksekutif firma LGMS Bhd, turut mempersoal sama ada pihak penguat kuasa terbabit sudah cukup arif dan terlatih mengenai rangka kerja kawal selia baharu itu.
Menurut Fong, langkah itu dilihat tidak praktikal di Malaysia terutama dengan pendirian kerajaan berhubung hak kebebasan bersuara walaupun beliau mengakui ia baik untuk memerangi jenayah siber.
“Kerajaan akan berdepan masa sukar menguatkuasakan peraturan ini. Pengendali media sosial tidak boleh beroperasi tanpa lesen, tapi sejauh mana kerajaan akan mengharamkan lesen bagi mereka yang berskala besar seperti Telegram dan WhatsApp?
Sangat tidak mungkin. Operasi mereka tidak terganggu pun biarpun lesen digantung,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, rakyat lebih menginginkan kerjasama ‘rapat’ antara pelbagai platform media sosial dan pesanan internet berhubung tindakan menurunkan kandungan dan siasatan sumber atau identiti bagi sesebuah hantaran dimuat naik.
Sementara itu, Harris Zainul, penganalisis kanan di Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS) mempersoalkan mengapa kerangka kawal selia baharu itu dilakukan dengan menghapuskan pengecualian bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Perubahan dasar ini wajar dibincang dan dibahas wakil rakyat kita di Parlimen disebabkan sifat kontroversinya,” katanya.
Beliau menambah, segala piawaian pelesenan ditetapkan mesti jelas, dikuatkuasakan secara adil bagi mengelakkan salah guna kuasa dan keputusan membabitkan kepentingan peribadi.
“Ketelusan dalam pelesenan media sosial juga penting dalam meredakan kebimbangan mengenai campur tangan politik dalam proses penyingkiran kandungan,” katanya.
Sabtu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengumumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia mesti memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
This article first published in Free Malaysia Today, 2 August 2024